Perancis Denda Microsoft Kerana Mengenakan Kuki Iklan Tanpa Kebenaran Pengguna

Google dan Facebook juga pernah didenda kerana kesalahan sama.

Badan pemantau privasi Perancis dilaporkan telah mendenda Microsoft sebanyak 60 juta euro (kira-kira RM281 juta) selepas didakwa mengenakan kuki iklan kepada pengguna.

Menurut laporan France24, denda itu dikenakan oleh Suruhanjaya Kebangsaan untuk Teknologi dan Kebebasan (CNIL) Perancis mendakwa enjin carian Microsoft, Bing tidak memiliki tetapan untuk membolehkan pengguna menghalang kuki.

“Didapati apabila pengguna melawat sesuatu laman, kuki akan dikenakan tanpa kebenaran pengguna, sementara kuki ini digunakan untuk kegunaan pengiklanan.”

“Ia juga didapati tiada butang untuk membolehkan (pengguna) untuk menghalang deposit kuki semudah menerimanya,” kata pengawal selia Perancis.

Tindakan denda itu dikatakan berkaitan dengan undang-undang perlindungan data yang diluluskan oleh Kesatuan Eropah di mana setiap laman sesawang memerlukan kebenaran pengguna sebelum mengambil maklumat ketika melawat sebarang laman dalam talian.

Sebelum ini, badan pemantau itu juga pernah mengenakan denda kepada Google dan Facebook sejumlah 210 juta euro (kira-kira RM986 juta) kerana penggunaan kuki tanpa kebenaran pengguna.


Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen