Final Fantasy 16 dan Silent Hill 2 Remake Tidak Akan Dilancarkan di Xbox - Microsoft

Masih belum berakhir.

Final Fantasy 16 dan Silent Hill 2 Remake Tidak Akan Dilancarkan di Xbox - Microsoft

Microsoft membalas bantahan Sony terhadap usaha mereka mengambil alih Activision Blizzard menyatakan judul-judul pihak ketiga PlayStation dihalang dari dilancarkan di Xbox berikutan perjanjian pengecualian yang ditandatangani bersama.

Eurogamer melaporkan, maklum balas itu sebahagian daripada tuntutan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat bagi mempertahankan tindakannya untuk mengambil alih syarikat permainan video.

Microsoft mendakwa kerjasama Sony bersama penerbit pihak ketiga seperti FromSoftware, Square Enix dan Konami juga sudah menghalang beberapa judul dari dilancarkan di Xbox.

Credit: KoreaXboxNews

“Demi memiliki kandungan eksklusif, Sony juga sudah menandatangani perjanjian bersama penerbit-penerbit pihak ketiga dengan mengenakan ‘pengecualian’ ke atas Xbox dari senarai platform yang boleh diedarkan.

“Antara judul yang terkesan adalah termasuk Final Fantasy VII Remake (Square Enix), Bloodborne (FromSoftware), Final Fantasy XVI (Square Enix) yang akan dilancarkan dan Silent Hill 2 Remake (Bloober) yang baru sahaja diumumkan,” kenyataan Microsoft.

Usaha Microsoft untuk mengambil alih pemilikan ke atas Activision Blizzard sejak Januari terus dihalang di mana sebilangan pemain Call of Duty bertindak memfailkan saman ke atas syarikat itu.

Walaupun usaha dihalang, 75 peratus orang awam di United Kingdom dilaporkan bersetuju dengan usaha pengambilalihan ini.

Walau bagaimanapun, pihak Sony masih belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap Microsoft. Mungkin dengan maklum balas pihak Microsoft ini Xbox juga akan menerima judul-judul eksklusif PlayStation pada masa akan datang.

Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen