Gamer Saman Microsoft Atas Usaha Mengambil Alih Activision Blizzard

Pemain CoD pula membantah.

Usaha Microsoft untuk mengambil alih pemilikan ke atas Activision Blizzard terus dihalang dan kini sekumpulan pemain Call of Duty bertindak memfailkan saman ke atas syarikat itu.

Menurut laporan Bloomberg Law, pemfailan saman itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan California, Amerika Syarikat, dua minggu selepas Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat memfailkan saman ke atas Microsoft bagi menghalang langkah pengambilalihan itu.

“Microsoft sudah menguasai satu daripada ekosistem terbesar dan paling popular dalam industri permainan video.

“Permohonan pengambilalihan ini akan memberi Microsoft kedudukan yang tiada saingan dalam industri menjadikannya memiliki sejumlah besar permainan dan francais ikonik,” menurut keterangan saman itu.

Bagaimanapun, pihak Microsoft menafikan dakwaan itu di mana mereka mendakwa pengambilalihan itu adalah sebagai satu langkah untuk memperluaskan persaingan dalam industri permainan selain menawarkan lebih banyak peluang untuk pembangun menghasilkan permainan untuk peminat.

Pada Januari lalu, Microsoft mengumumkan perancangan mereka untuk mengambil alih Activision Blizzard dengan menawarkan bayaran sebanyak AS$68.7 billion (kira-kira RM305.9 billion).

Selain FTC, Suruhanjaya Eropah, Badan Persaingan dan Pasaran United Kingdom dan Sony antara pihak utama yang bertindak menentang proses pengambilalihan ini.


Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen