75% Orang Awam UK Sokong Pengambilalihan Microsoft ke atas Activision Blizzard

Ramai positif dengan langkah ini.

Sementara Badan Persaingan dan Pasaran (CMA) United Kingdom menilai permohonan Microsoft untuk mengambil alih Activision Blizzard, 75 peratus orang awam memihak kepada langkah Microsoft untuk bergabung.

CMA menjemput orang awam bagi berkongsi pandangan mereka sebagai salah satu siasatan dalam pengambilalihan Microsoft-Activision Blizzard. Badan itu mendedahkan lebih 2,100 emel atau kira-kira tiga perempat orang awam menyokong langkah ini selain sebahagian kecil menentang.

Antara respons yang diterima, ramai berpendapat Sony dan Nintendo memiliki pengaruh yang lebih kuat berbanding Microsoft dan pengambilalihan ini dapat meningkatkan persaingan dalam industri permainan.

Manakala pandangan lain yang menentang langkah ini berpendapat bahawa Microsoft lebih dominan dalam sistem operasi PC dan langkah ini sebagai usaha syarikat itu untuk kuasai pasaran permainan video selain berpendapat langkah ini adalah terbesar dalam sejarah permainan.

Malah, mereka juga berpendapat langkah ini membuka ruang untuk syarikat penerbit permainan seperti Take-Two, EA, Ubisoft juga akan diambil alih oleh syarikat-syarikat lain.

Siasatan terhadap pendapat awam ini dilakukan pada Oktober lalu selepas satu daripada dua fasa siasatan terhadap pengambilalihan Microsoft-Activision Blizzard ini selesai dan CMA merancang untuk terus mencari bukti dan menerbitkan penemuan sebelum laporan terakhir dikeluarkan.

Sementara di Amerika Syarikat, langkah Microsoft untuk mengambil alih Activision Blizzard ini masih ditentang oleh kerajaan negara itu dan FTC sebelum ini mengumumkan mahu memfailkan saman untuk menyekat langkah ini.

FTC menggelar usaha Microsoft ini sebagai memudaratkan persaingan dalam industri permainan video.

Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen