Epic Games Didenda Berikutan Amalan Mikro Transaksi Yang Tidak Adil dalam Fortnite

Fungsi perbualan dalam permainan juga diberi perhatian.

Epic Games Didenda Berikutan Amalan Mikro Transaksi Yang Tidak Adil dalam Fortnite

Epic Games diarahkan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat untuk membayar sebanyak AS$520 juta (kira-kira RM2.3 billion) selepas didakwa memperdaya pemain untuk melakukan pembayaran yang tidak diperlukan di dalam Fortnite.

Menurut FTC, bayaran denda itu meliputi dua kesalahan.

Epic perlu membayar denda sebanyak AS$275 juta (kira-kira RM1.2 billion) atas kesalahan melanggar undang-undang Perlindungan Privasi Kanak-Kanak Dalam Talian (COPPA) iaitu mengenakan had umur pada laman web dan perkhidmatan dalam talian yang ditujukan kepada kanak-kanak di bawah 13 tahun.

Selain itu, Epic juga perlu membayar AS$245 juta (kira-kira RM1.086 billion) sebagai pembayaran semula kepada pelanggan berikutan “paten gelap” iaitu memperdaya pemain untuk melakukan pembayaran yang tidak diperlukan dalam permainan.

“Melindungi orang awam dan terutamanya kanak-kanak dari pencerobohan maklumat peribadi dalam talian dan paten gelap adalah keutamaan pihak Suruhanjaya dan tindakan ini adalah sebagai bukti FTC dalam membanteras amalan tidak bertanggungjawab oleh [syarikat-syarikat] perniagaan ini,” kata Pengerusi FTC, Lina Khan.

Selain isu mikro-transaksi, FTC juga menyentuh penggunaan perbualan suara Fortnite di mana Epic mengarahkan untuk mematikan fungsi perbualan suara dan teks bagi kanak-kanak dan remaja berumur di bawah 13 tahun serta memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga.

Epic juga diarahkan untuk memadam maklumat peribadi pemain yang dikumpul daripada pemain Fortnite.

Maklum balas Epic Games

Berikutan arahan FTC, pihak Epic Games telah mengeluarkan kenyataan balas, iaitu:

“Tiada pembangun permainan yang berniat seperti ini. Industri permainan video adalah satu tempat yang sentiasa berinovasi di mana pemain menjangkakan pelbagai idea baharu dan segar. Statut yang ditulis berpuluh tahun lalu tidak menetapkan bagaimana ekosistem permainan video perlu beroperasi. Peraturan tidak berubah tetapi perlaksanaannya sudah berubah dan amalan yang digunakan industri masih sama. Kami menerima persetujuan ini kerana kami mahu Epic sentiasa berada di barisan hadapan dalam melindungi pelanggan dan menawarkan pengalaman terbaik buat pemain kami.”

Epic juga meminta untuk pembangun permainan untuk memikirkan kaedah baharu bagi memudahkan proses pembayaran dalam permainan dan mengatakan mereka sudah melaksanakan tetapan privasi yang tinggi secara lalai sejak September.

Tambahan itu, Epic menambah bahawa mereka sudah mengemaskini polisi caj semula, pembayaran semula secara layan diri, pembatalan segera pembelian kosmetik dan tidak lagi melaksanakan sistem kotak tikam sejak 2019.

Langkah FTC ini menunjukkan badan undang-undang itu memandang serius terhadap operasi industri permainan di mana badan itu pernah menyaman Microsoft bagi menghalang syarikat gergasi itu dari mengambil alih Activision Blizzard.

Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen