Teknologi Baru Ini Akan Membolehkan Wi-Fi Anda Menembusi Dinding

Tiada lagi titik buta Wi-Fi?

Demi menghilangkan titik buta gelombang Wi-Fi yang disebabkan terhalang oleh dinding dan sebarang objek, pengguna terpaksa berlabur dengan membeli sambungan mesh nirwayar. Namun, mungkin anda boleh menghapuskan dinding daripada menjadi penghalang dengan efektif.

Dilaporkan oleh Newsweek, sekumpulan saintis Austria daripada Vienna University of Technology dan Rennas University memperincikan kaedah untuk membuang pantulan gelombang yang disebabkan objek yang padat. Penemuan ini didedahkan melalui kajian mereka yang bertajuk “Struktur anti-pantulan untuk penularan sempurna melalui media kompleks.”

Saintis ini memperlihatkan bagaimana solusi mereka terhadap cermin dengan salutan anti-pantulan berlaku. Salutan itu membolehkan cahaya menembusi dengan lebih bebas melalui lensa dan sekaligus menghalang cahaya daripada dipantulkan. Mereka juga menggunakan salutan khas untuk membolehkan gelombang Wi-Fi bergerak melalui objek yang padat dengan mudah.

“Pertama sekali anda perlu menghantar sejenis gelombang melalui medium dan mengukur berapa banyak gelombang yang dipantulkan oleh bahan itu,” kata Michael Horodynski, salah seorang penulis kajian itu.

“Kami boleh menunjukkannya dengan maklumat ini, tindakbalas yang sepadan boleh diukur untuk mana-mana medium yang memantulkan gelombang, oleh itu kombinasi kedua-dua media ini membolehkan gelombang melepasi [halangan] sepenuhnya.”

Dalam bahasa mudah, para saintis ini berjaya menggunakan kiraan matematik untuk membolehkan gelombang radio bergerak melalui satu bahan dan menggunakan maklumat itu untuk menghasilkan bahan yang boleh mengelakkan pantulan gelombang radio.

Kajian pertama mereka menggunakan gelombang mikro dengan menggerakkannya melalui “pandu gelombang metalik” yang diisi dengan besi-besi kecil dan objek teflon. Hanya separuh daripada gelombang mikro itu berjaya menembusi objek itu dan separuh lagi dipantulkan. Tindak Balas gelombang mikro ini diukur dan objek anti-pantulan dihasilkan. Kajian berikutnya memperlihatkan 100 peratus gelombang mikro berjaya menembusi objek itu.

Teknik ini bukan saja boleh menambah baik sambungan Wi-Fi malah termasuk gelombang-gelombang lain seperti gelombang selular dan teleskop yang menggunakan gelombang radio untuk mengesan objek di angkasa.


Berita Berkaitan
Komen