Proletariat, Pembangun Activision Blizzard Bentuk Kesatuan Pekerja

Demi mempertahankan budaya kerja di studio.

Pembangun permainan Spellbreak, Proletariat Inc. baru-baru ini membentuk kesatuan pekerja yang merangkumi pekerja daripada pelbagai bahagian seperti penguji kualiti permainan, animasi, jurutera dan penerbitan.

Hal ini dikongsikan melalui satu bebenang hantaran di Twitter di mana Proletariat Workers Alliance (PWA) dibentuk untuk menyediakan sebuah studio dengan pasukan yang pelbagai dan menghasilkan pengalaman penuh inovatif dalam pembangunan permainan.

“Kami menubuhkan kesatuan ini untuk mempertahankan misi ini dan menetapkan kejayaan studio sementara kami melangkah masuk ke era baharu Proletariat dengan menyertai Activision Blizzard King (ABK),” tulis mereka.

Langkah penubuhan kesatuan itu dikatakan sudah dirancang selepas Activision Blizzard berhasrat untuk mengambil alih studio itu.

“Apabila kami mengetahui perancangan Blizzard untuk mengambil alih Proletariat, kami mula berbincang bagaimana kami mahu mempertahankan budaya kerja yang kami hasilkan di sini.

“Dengan menubuhkan sebuah kesatuan dan membincangkan kontrak, kami dapat memastikan bahawa kami dapat meneruskan kerja kami dan menghasilkan pengalaman inovatif sebagai sempadan pembangunan permainan,” kata Jurutera Perisian Proletariat, Dustin Yost.

PWA bukanlah satu-satunya kesatuan pekerja yang dibentuk oleh studio yang dinaungi Activision Blizzard.

Sebelum ini, pasukan Penguji Kualiti Permainan di Raven Software dan Blizzard Albany juga menubuhkan kesatuan pekerja bagi melindungi hak pekerja dan memastikan suasana kerja yang sihat.
Dalam Artikel Ini

Spellbreak

Proletariat Inc.
Komen