Mesej Terakhir InSight Lander NASA Dikongsi

Selamat malam, InSight.

NASA baru-baru ini berkongsi satu hantaran di Twitter satu mesej selamat tinggal buat prob InSight yang dikatakan menjadi senyap minggu lalu selepas empat tahun menjalankan jelajah di planet Marikh.

Pada 18 Disember, prob itu gagal membalas panggilan NASA berikutan kuasa simpanan dikatakan sudah habis dan agensi itu secara rasmi menghentikan misi itu selepas prob itu gagal menghantar maklum balas ke kapal angkasa di orbit Marikh.

“Kuasa saya sudah terlalu rendah jadi ini mungkin imej terakhir saya boleh hantar.

“Jangan bimbang tentang saya: masa saya di sini sangat produktif dan tenang. Kalau saya boleh terus berhubung dengan pasukan misi saya, saya akan terus berhubung - tapi saya akan berundur di sini tidak lama lagi. Terima kasih kerana terus bersama saya,” satu hantaran NASA melalui akaun rasmi misi itu, lapor NPR.

InSight mendarat di permukaan Marikh pada November 2018 dan tujuan InSight adalah untuk mengkaji bagaimana Marikh terbentuk sekitar 4.5 billion tahun lalu selain menjejak gempa yang berlaku di permukaan planet merah itu.

“Kami telah menganggap InSight sebagai salah seorang rakan dan teman sekerja di Marikh sepanjang empat tahun ini jadi agak sukar untuk kami ucapkan selamat tinggal. Tetapi ia telah memperoleh persaraan yang sangat layak,” kata penyiasat misi di NASA’s Jet Propulsion Laboratory, Bruce Banerdt.

InSight adalah salah satu teknologi revolusi kemanusian untuk mengkaji struktuk Marikh dan mendedahkan pelbagai evolusi dunia dengan membaca gelombang seismik di seluruh permukaan planet itu.

Selain itu, InSight juga berjaya menjejak meteorit yang terhempas di Marikh dan berjaya mengesan gempa pertama di planet lain.

Sepanjang kariernya, InSight berjaya mengesan lebih 1,300 gempa di permukaan Marikh di mana gempa terakhir dikesan menggegarkan Marikh selama enam jam dan memiliki kekuatan gempa bumi 5 magnitud.

Walau bagaimanapun, NASA akan terus berusaha untuk berhubung dengan prob itu menggunakan Deep Space Network dengan harapan ia akan bertindak balas.

Dalam Artikel Ini
Berita Berkaitan
Komen