Judul Buatan Malaysia, Eximius: Seize the Frontline, Terima Kemaskini Unreal Engine 5

Barisan unit juga dibaik pulih.

Ammobox Studios, sebuah studio pembangun permainan dari Malaysia, sudah melancarkan kemaskini musim ketiga bagi Eximius: Seize the Frontline dengan beberapa perkara baharu termasuk penambahbaikan visual menggunakan Unreal Engine 5.

Melalui kemaskini ini, musim ketiga yang diberi judul ‘The Breakthrough’ bakal menerima penambahbaikan visual, unit yang dihasilkan semula, kosmetik baharu dan sistem pengoptimal permainan yang dipertingkatkan.

Antara unit yang dihasilkan semula adalah, Support Crawler, APC, Specialist, Armory and Deployed Mule dan Service Ironguard.

“Eximius: Seize the Frontline akan terus berkembang dengan pelbagai peluang dan eksperimentasi dan kami di Ammobox berasa sangat teruja.

“Kami akan terus menawarkan pilihan komander yang mencukupi dengan cara bermain antara strategi masa nyata dan gaya penembak orang pertama. Kami berbangga untuk memberikan sistem Eximius yang dinaik taraf sepenuhnya ini kepada peminat kami dan bakal memperkenalkan divisyen baharu kepada barisan AXR dan GSF pada masa akan datang,” kata Pengarah Ammobox Studios, Jeremy Choo.

Selain itu, Eximius: Seize the Frontline juga dilancarkan di Epic Games Store dan pemain boleh bermain bersama rakan-rakan mereka tanpa mengira platform yang mereka pilih untuk bermain.

Eximius: Seize the Frontline kini tersedia termasuk kemaskini Musim 3 di Epic Games Store dan Steam secara percuma sebagai sebahagian daripada giveaway mingguan mereka.

Judul ini juga akan menerima diskaun sebanyak 75 peratus di Humble Store sempena minggu pelancaran dengan harga AS$7.49 (kira-kira RM34) dan selepas tamat tempoh diskaun, harga kekal akan dikurangkan kepada AS$19.99 (kira-kira RM89).

Dalam Artikel Ini
Komen