Henry Cavill Sah Tidak Kembali Sebagai Superman

Dunia baru, wajah baru.

Bintang Man of Steel, Henry Cavill baru-baru ini mengesahkan bahawa dia tidak akan kembali sebagai Superman selepas James Gunn mengumumkan perancangan baharu DC.

Gunn sebelum melalui Twitter mengumumkan bahawa pelan masa depan untuk DC telah dimuktamadkan bersama Presiden DC Studio Peter Safran dan dijangka akan diumumkan pada tahun depan.

Selain itu, Gunn juga berkongsi satu filem Superman yang menceritakan kisah ketika Clark Kent masih muda dan bekerja sebagai seorang wartawan dan ia sekaligus mengesahkan Cavill tidak akan kembali menyarung mantel superhero itu.

Cavill kemudian mengesahkan berita itu di Instagramnya menulis, “Saya baru sahaja bertemu dengan James Gunn dan Peter Safran dan ia satu berita sedih untuk semua. Saya tidak akan kembali sebagai Superman.”

Oktober lalu, studio mengumumkan bahawa Cavill akan kembali tetapi pengumuman itu dilakukan sebelum Gunn dan Safran dilantik untuk mengemudi DC Studios.

“Pertukaran ini adalah sesuatu yang telah berlaku. Saya hormatinya. James dan Peter ada dunia yang perlu dibina. Saya ucapkan selamat maju jaya buat mereka dan semua yang akan terlibat di dalam dunia baharu itu,” tambah Cavill.

Pengumuman ini sekaligus mengesahkan bahawa Snyderverse tidak lagi diteruskan di mana projek untuk Wonder Woman 3 dikatakan sudah dibatalkan dan ia sudah disahkan oleh pengarah, Patty Jenkins melalui Twitternya.

Pelan penuh masa depan DC akan diumumkan sekitar tahun depan dan walaupun Cavill tidak lagi kembali sebagai Superman, Gunn berkata terdapat kemungkinan mereka akan bekerja bersama.

Bulan lalu, Cavill juga mengumumkan dia tidak akan kembali sebagai watak Geralt untuk siri The Witcher.

Komen