Capcom Tamatkan Resident Evil Remake Buatan Peminat

Capcom sudah bertanya tentang projek itu sejak 12 Disember.

Pembangun yang menghasilkan semula judul Resident Evil dan Resident Evil Code: Veronica mengumumkan bahawa mereka terpaksa membatalkan kedua projek itu selepas dihubungi oleh pihak Capcom.

Pengumuman itu dilakukan melalui satu hantaran di Twitter dan berkongsi penerangan pembatalan projek itu melalui pelayan Discord pasukan pembangun itu.

Menurut laporan Kotaku, Briins Croft menyatakan, dia menerima dua emel cease-and-desist daripada pihak Capcom di mana syarikat itu bertanya mengenai asal usul animasi dan model yang digunakan dalam kedua projek yang dibangunkan sejak dua tahun lalu itu.

Croft juga menambah bahawa Capcom sudah bertanya tentang projek itu sejak 12 Disember.

“[Capcom] batalkan projek ini dengan niat jahat memandangkan tiada sebarang tanda yang Code: Veronica datang daripada mereka,” tulis Croft di Discord.

Projek itu pernah menerima kritikan awam berikutan tindakan mereka yang menerima dana orang ramai melalui Kofi dan PayPal tetapi Croft menafikan perkara ini sebagai punca projek ini dibatalkan.

"Saya sendiri agak terkejut dengan keputusan Capcom. Tapi ya, kami gunakan mainan mereka untuk hasilkan permainan percuma. Jadi, kami faham," tambah Croft di dalam satu video.

Oleh hal itu, Croft dan pasukannya tidak lagi meneruskan projek bagi menghasilkan semula judul Resident Evil tetapi mereka akan membangunkan permainan baharu yang diinspirasi oleh Code: Veronica.

“Kami akan teruskan dengan sebuah projek baharu dengan penceritaan yang diinspirasi dari Code: Veronica tanpa masalah hak cipta,” kata Croft.

Resident Evil dilancarkan pada 1996 untuk PlayStation menjadi perintis bagi permainan survival seram moden dan Resident Evil Code: Veronica dilancarkan pada 2000 untuk Sega Dreamcast sebelum judul ini dibawa ke PS2 dan GameCube.

Kedua-dua model ini kemudian dilancarkan untuk PlayStation 3 dan Xbox 360 dengan menerima sentuhan HD.

Pada Oktober, penerbit Resident Evil 4 mengesahkan bahawa Capcom tidak ada sebarang perancangan untuk membangunkan semula Resident Evil Code: Veronica.

Dalam Artikel Ini
Komen